Archive for the ‘Hijjaz’ Category
Leia Mencari Yang Hilang
Oleh Elrafaei Sapi
ahmadelrafaei@hmetro.com.my
Rap
SEJAK kecil, penyanyi bernama Leia Az Zahra Justin Abdullah terdedah dengan muzik. Barangkali tidak ramai yang mengetahui bapa penyanyi ini, Justin Lusah seorang komposer dan penyanyi popular di Sabah. Justin dikenali menerusi lagu Jambatan Tamparuli yang popular sekitar pertengahan 70-an. Malah ibunya, Clarice Boinsin juga penyanyi popular di kalangan masyarakat Kadazan.
Mewarisi bakat ibu bapanya, kini Leia menceburi bidang nyanyian secara serius selepas bernaung di bawah label Hijjaz Records. Berbeza dengan nasib penyanyi lain meraih peluang mudah sebagai artis, usaha Leia untuk menempatkan diri dalam bidang seni dilakukan sendirian tanpa mengharapkan simpati orang lain.
Katanya, dia sanggup bertemu dengan kumpulan artis popular seperti Rabbani dan Hijjaz untuk menyatakan minat menyanyikan lagu nasyid. Leia berhasrat mencari syarikat pengurusan artis yang dapat mengendalikan aktiviti seninya.
Akhirnya impian Leia menjadi kenyataan selepas Hijjaz mempercayai bakatnya dan kini Leia hadir dengan single Mencari Yang Hilang.
“Masa kecil saya sering ikut ibu bapa saya pergi buat persembahan di pentas mahupun kenduri kahwin. Di rumah, kami juga kerap karaoke. Dari situ, minat saya terhadap muzik dan nyanyian bertambah.
“Hingga di sekolah menengah, saya aktif menyanyi dan mempunyai kumpulan sendiri iaitu Tanak Nabalu (anak Kota Kinabalu) yang mempunyai enam anggota. Selepas melanjutkan pelajaran di kolej, saya masih aktif menyanyi di pentas.
“Pada saya, menyanyi boleh melepaskan tekanan dalam diri dan matlamat saya kini sebenarnya mahu berdakwah menerusi lagu. Saya percaya lagu membawa mesej dekat dengan masyarakat dan jika boleh, saya ingin mengajak sesiapa saja mendekati Islam,” katanya.
Mengenai single barunya itu, Leia berkata, ia ciptaan sendiri yang mengisahkan pengalaman hidupnya ketika mempunyai jiwa kosong. Ketika itu, Leia yang pernah menganut Kristian Katolik mencari arah hidup yang sempurna hingga menemui hidayah untuk memeluk Islam pada Oktober tahun lalu. Akui Leia, 28, perasaannya kini makin tenang selain memahami cara kehidupan dalam Islam.
“Sejak kecil hingga besar, saya mencari kasih sayang selepas ibu bapa berpisah dan saya kemudian menumpang kasih dengan nenek. Selepas tamat tingkatan lima, saya hidup berdikari. Saya berpeluang melanjutkan pelajaran dalam bidang Diploma Sains Komputer di Pusat Teknologi Pengurusan Lanjutan (PTPL).
“Dulu saya hidup keseorangan, sunyi dan merintih hingga saya tertanya apakah saya hidup seorang diri di dunia ini? Suatu hari, saya terdengar azan subuh dalam mimpi dan apabila terjaga, memang azan subuh berkumandang.
“Sejak peristiwa itu, hati saya tertarik untuk mendekati Islam dan saya juga berdikari belajar menerusi Internet dan pergi ke Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim). Saya seronok dengan kehidupan yang dilalui kini dan berhasrat terus berdakwah menerusi nyanyian,” katanya.
Selain single Mencari Yang Hilang, Leia turut tampil menerusi Taubat dan Syukur. Sebanyak 10 lagu baru dimuatkan dalam album debut ini yang menampilkan pop nasyid dan dijangka berada di pasaran pada awal tahun depan. Leia yakin dakwah menerusi lagu salah satu cara berkesan untuk menarik perhatian masyarakat termasuk bukan Islam.
Sebelum ini, single berkenaan dimuatkan dalam album kompilasi Nasyid Terhebat! terbitan Nova Music yang berada di pasaran sejak Aidilfitri lalu. Album itu turut menggabungkan ramai penyanyi nasyid antaranya Rabbani, Hijjaz dan Nowseeheart.
Harian Metro
Syifa’ Tak Kisah Menumpang

ALBUM kedua Syifa memuatkan lagu seperti Seri Hati, Nikmat Kurnia, Syafiuna Ya Rasulullah, Mentari Hidup dan Keluarga Bayangan Syurga.
WALAUPUN kehadiran mereka boleh diibarat menumpang populariti kumpulan lain, namun grup yang membawa irama nasyid dan menggelarkan diri mereka sebagai Syifa’ tetap berbangga dengan situasi itu.
Bersatu hati dengan menonjolkan tujuh anggota dalam Syifa’, kumpulan ini tanpa berselindung mengaku gemar bergantung kepada mentor, Hijjaz dalam melaksanakan seluruh kegiatan mereka, terutama dalam bidang muzik.
Jika dikata menumpang populariti Hijjaz sekalipun, Syifa’ enggan mengambil peduli, malah tetap berpendirian teguh mahu menjunjung nama idola mereka yang diibarat sebagai tulang belakang memperkenal Syifa’ mencapai hierarki tersendiri hingga ke hari ini.
Vokalis utama Syifa’, Mohd. Zahidan Omar berkata, kumpulan yang dinaungi warga kerja bertugas di Kementerian Kesihatan Malaysia itu punya mentor sendiri yang selama ini tidak pernah henti menyokong Syifa’.
“Imej yang kami tonjolkan juga ada sedikit persamaan dengan Hijjaz hingga peminat senang saja untuk mengenali kami.
“Apabila orang ramai yang meminati irama nasyid bercakap tentang Syifa’, mereka pantas membuat kesimpulan bahawa Syifa’ merupakan artis kendalian Hijjaz Records Sdn. Bhd. (HRSB).
“Tanpa berselindung, kami memang menggunakan sepenuh kuasa yang ada kepada Hijjaz untuk menaikkan nama Syifa’.
“Hijjaz juga tidak memandang serong terhadap terhadap keputusan kami, sebaliknya terus menyokong untuk menyatupadu dan mengembangkan nasyid dalam industri seni ini,” kata Zahidan ketika ditemui pada majlis pelancaran album kedua Syifa’, Seri Hati di Restoran Puteri, Sungai Penchala baru-baru ini.
Upacara pelancaran album Syifa’ itu dirasmikan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Ahmad Kabit.
Selain Zahidan, Syifa’ turut dianggotai Rohaizat Ismail atau Izat, Zawata Afnan Ibrahim (Afnan), Iszrul Azwan Idrus (Azwan), Hairudin Zainul Abidin (Din), Samri Karim (Samri) dan Nassri Yasin (Nash).
Menjadikan Hijjaz sebagai sifu dalam pembentukan kerjaya Syifa’, barangkali ada sesetengah peminat memperlekehkan keputusan yang dianggap kurang bertepatan ini.

ALBUM kedua Syifa’, Seri Hati kini boleh didapati di pasaran.
Dan sebagai natijahnya, Syifa’ bakal dihukum sebagai kumpulan nasyid yang tiada identiti tersendiri hingga terpaksa ‘meminjam’ glamor yang ada dalam Hijjaz untuk menggapai kejayaan dalam period singkat.
Dengan wajah penuh ketenangan, Zahidan menjawab relevan perkara itu dan menyifatkan bahawa tiada salah mengangkat populariti Hijjaz bagi mengemudikan hala tuju Syifa’ ke tahap membanggakan.
“Bagi pendapat kami sendiri, Syifa’ perlu menumpang nama senior sebelum ini untuk perkenalkan diri kepada peminat sekali gus menempatkan diri dalam dunia hiburan asal tidak tersasar daripada matlamat asal.
“Kami lihat sesetengah grup yang muncul dengan imej dan gaya tersendiri sukar untuk mengukuhkan kedudukan mereka.
“Kalau ada peminat yang masih belum mengenali Syifa’, kami akan berkata bahawa Hijjaz adalah guru kami, malah Syifa’ tidak kisah kalau dilabel tumpang populariti Hijjaz.
“Lagipun tiada salahnya kerana kami benar-benar meminati dan mengagumi Hijjaz sejak awal lagi penubuhan grup ini,” rungkai Zahidan sambil berterus-terang.
Dalam pada itu, Syifa’ ada juga memainkan peranan sendiri dalam mengenengahkan nama mereka dalam himpunan artis membawakan lagu-lagu berirama nasyid ini.
“Kalau kami menjayakan mana-mana persembahan pentas, ada juga peminat yang sudah awal-awal lagi mengenali kumpulan kami.
“Saya mengaku situasi ini berlaku disebabkan kami mendapat liputan meluas daripada TV, radio dan media cetak yang tidak sesekali berhenti memberi sokongan kepada Syifa’.
“Alhamdulillah, kami gembira dan turut bersyukur dengan penerima umum terhadap Syifa”,” akui pemuda berusia 28 tahun ini.
Bercakap lebih lanjut tentang album kedua Syifa’, Zahidan berpendapat karya ini cukup istimewa kerana menampilkan konsep pop tradisional kreatif.
“Konsep ini menggabungkan irama Inang, Nusantara Arab, Banghra, Pop Arab, Pop Melayu dan beberapa irama lain.
“Banyak kelainan yang cuba ditampilkan dalam album kali ini jika hendak dibandingkan dengan naskah awal yang diterbit pada tahun 2006, Sinar Kedamaian.
“Album ini disiapkan dalam tempoh lima bulan serta diterbit oleh beberapa komposer berpengalaman dalam album yang berkonsepkan keislaman seperti Isman Isam, Munif Ahmad, Ariffin Rahim, Saiful Mestica, Fadzli FarEast dan ramai lagi.
“Seri Hati dihasilkan bagi mewarnai industri nasyid tanah air disebabkan nasyid sendiri berperanan sebagai satu medium dakwah yang berupaya membentuk masyarakat Muslim yang berminat dengan seni muzik.
“Ia merupakan hiburan yang memiliki nilai Islam murni dan ada mesej penting tersendiri.
“Dengan garapan muzik yang kedengaran unik dan menarik ini, Syifa’ harap alunan lagu-lagu nasyid ini boleh dimartabat serta menjadi senjata dakwah khususnya di Malaysia serta peringkat global,” mohon Zahidan.
Bagi peminat yang ingin mengetahui aktiviti serta informasi terkini Syifa’, mereka bolehlah melayari laman web www.syifa.com.my. - FAIZAL SAHARUNI
Kosmo