Archive for the ‘Jessica Alba’ Category

Humor Reezman


Oleh Fairuz Zaidan
fairuzaidan@bharian.com.my


Reezman@Amat

DI SEBALIK aksi humor ketika mengacara program, Bang Bang Boom di TV3, ada sisi berbeza ditampilkan anak muda berusia 25 tahun ini. Gelanggang ais di Sunway Piramid menjadi saksi ‘belang’ si empunya diri, Reezman Esa!

BERULANG kali anak muda ini memohon maaf kepada penulis dan jurugambar, Surianie Mohd Hanif. Mungkin gusar kerana kami terpaksa menunggu lama hingga tamat perlawanan hoki ais antara pasukannya, Wild Cats dan Asian Tigers pada malam itu.

Hakikatnya, penulis dan Surianie leka menonton perlawanan dua seteru, Wild Cats dan Asian Tigers. Tanpa disedari, ramai penonton mengelilingi gelanggang ais hingga lewat malam semata-mata tidak mahu terlepas aksi panas pemain kedua-dua pasukan.

Penulis yang pertama kali menonton perlawanan hoki ais, tidak dapat menolak hakikat sukan itu ada pengaruh dan daya tarikan tersendiri. Siapa sangka, di sebalik kumpulan pemain hoki ais itu, muncul pula seorang pemain dalam posisi pertahanan yang cukup dikenali ramai.

Pada mulanya, agak janggal melihat aksi anak muda ini yang cukup profesional, berbakat dan lasak mengawal pertahanan. Mengapa tidak, teringat karektor humor dan usikan nakal personaliti ini ketika mengacarakan program, Bang Bang Boom bersama Azahari di TV3 - cukup berbeza!

Begitulah aura empunya diri, Reezman Esa @ Isa. Memang berbeza personaliti anak muda ini ketika menyarung jersi pasukan Wild Cats. Selaku pasukan di tangga kedua daripada lima pasukan yang menyertai liga kebangsaan, nyata cabaran besar digalas Reezman untuk memastikan Wild Cats terus mendaki puncak.

Bagaimana besarnya saiz persalinan jersi Reezman, begitulah semangat anak muda ini setiap kali menyarungkan jersi bernombor keramat, 88.

“Jika tidak terikat dengan aktiviti lain, saya akan bermain hoki ais. Ini sudah menjadi rutin sejak dulu lagi. Malah, dalam seminggu, ada dua atau tiga kali perlawanan dan sesi latihan menuntut saya untuk bekerja lebih kuat.

“Bercerita mengenai keseronokan, sukar diungkap dengan kata-kata kerana sukan ini menuntut ketangkasan dan bijak merancang serta membuat serangan bijak,” katanya yang hampir 10 tahun berkecimpung dalam sukan hoki ais.

Sebelum menceburi sukan terkenal itu, Reezman yang mula dikenali sejak menjadi peserta program ekstrem realiti, Explorace di TV3, beraksi dalam sukan roller hockey.

“Tidak banyak bezanya dengan roller hockey, tetapi saya tidak nafikan peralatan untuk sukan hoki ais agak mahal dan besar,” katanya.

Tiga jam bermesra dengan Reezman selain 45 minit menyaksikan kelibatnya beraksi dalam perlawanan genting kedua-dua pasukan, jelas menampakkan aura lelaki jejaka kelahiran Kuala Lumpur ini. Dalam karektor bersahaja dan kelakarnya, misi Reezman cukup jelas dan ‘garang’ di gelanggang hoki.

Bersama XY - Ikon Lelaki minggu ini, Reezman atau lebih mesra dengan panggilan Amat, memberi ruang untuk mengenali lebih dalam peribadinya…

Ceritakan perkembangan terkini Reezman?

Alhamdulillah, saya sekarang sibuk dengan kerjaya dan latihan hoki ais di Sunway Pyramid.

Bagaimana segalanya bermula sehingga Reezman dikenali ramai?

Saya tidak menganggap diri saya terkenal. Mungkin faktor humor dan bersahaja saya dan Azahari menarik minat produser ketika kami berdua menjadi peserta Explorace musim ketiga.

Tidak sangka penyertaan kami dalam siri realiti itu membawa kepada kemenangan. Ini kerana fokus kami adalah untuk suka-suka saja. Melihat kepada gelagat kami berdua, produser Bang Bang Boom memberi kepercayaan untuk kami mengendalikan segmen itu.

Memang minat mengacara?

Ketika mula ditawarkan sebagai pengacara dengan Azahari, saya tidak yakin menjadi pengacara. Tetapi apabila memikirkan tawaran ini datang sekali seumur hidup, saya sahut pelawaan itu.

Kena pula konsep program Bang Bang Boom yang humor dan bersahaja, minat mula timbul. Namun, bukan senang menjadi pengacara dan banyak yang perlu dipelajari.

Keseronokan bergelar pengacara?

Saya tidak nafikan tugas sebagai pengacara menyeronokkan. Apatah lagi karektor saya sesuai dengan konsep humor Bang Bang Boom. Tetapi, di sebalik keseronokan itu penat juga kerana perlu memerah otak memikirkan idea baru setiap kali muncul.

Selain mengacara apa aktiviti yang Reezman lakukan?

Kerja, kerja dan kerja. Selepas kerja saya akan ke latihan hoki ais di Sunway Pyramid.

Bagaimana perhatian yang diterima sebaik memenangi pertandingan Explorace?

(Tergelak). Memang ada orang yang menegur dan ingin merakamkan gambar. Memang segan, baik saya mahupun Azahari (ketawa).

Memang yakin menang?

Yakin menang bukan fokus kami. Tapi selepas terpilih dalam kelompok 12 pasukan akhir, perasaan lain pula timbul kerana misi utama bukanlah untuk menang sebaliknya muncul di kaca televisyen, makan angin percuma dan melihat aksi sendiri bersama keluarga dan teman-teman di televisyen (tergelak).

Bagaimana pula pembabitan Reezman dalam sukan hoki ais?

Segalanya bermula selepas menonton cerita ‘Mighty Ducks’. Namun, pada awal 1990-an masih belum ada ice ring menyebabkan saya bermain roller hockey. Ketika itu, ia aktif dianjurkan di Tasik Titiwangsa, Taman Melawati dan pusat rekreasi berdekatan dengan Hospital Assunta.

Namun, sukan ini menyepi selepas 1998. Namun, sebaik Sunway Piramid membuka gelanggang ais, ramai kenalan yang bermain roller hockey berhijrah ke sukan hoki ais. Tapi seksa juga ketika mula-mula membeli peralatan sukan ini pada 1999. (tergelak).

Keseronokan aktiviti sebegini?

Sukar untuk diungkap dengan kata-kata kerana memang minat saya sejak di bangku sekolah. Walaupun negara beriklim khatulistiwa, kita juga memiliki pasukan hoki ais mewakili Malaysia. Tapi tahap permainan kami boleh dianggap belum di peringkat pro lagi. Malaysia Boleh!

Ceritakan tentang personaliti diri Reezman?

Hmmm… Kenalan rapat mengatakan yang saya jenis happy go lucky! Nampak macam main-main. Tetapi ada kalanya saya serius. Alhamdulillah, saya bukan jenis orang yang panas baran.

Bolehkah dikatakan karektor Reezman ceria?

Ceria itu ceria juga. Tapi tidak selalu juga ceria. Ada ketika juga awan gelap timbul, perasaan ceria juga merudum. (tergelak lagi).

Bagaimana pula dengan ciri-ciri wanita pilihan?

Saya suka gadis seperti Jessica Alba, tidak pun Haifa Wahbi. Karektor gadis mestilah baik; sporting; supportive; memahami; kelakar; boleh berbual dalam banyak topik; mesti tahu pengetahuan am; suka bersukan; very down to earth dan banyak lagi. Namun, saya akui bukan senang hendak memiliki wanita sedemikian. (tergelak)

Adakah kriteria wanita idaman harus ceria seperti Reezman juga?

Kalau ceria itu bonus bagi saya. Tapi kalau ceria dia over sangat, takut pula saya! (tergelak)

Rahsia tentang diri Reezman yang orang tidak tahu?

Suka bermain gitar elektrik. Tapi tak pandai sangat pun.

Aktiviti waktu lapang?

Hoki ais! Tak pun melepak minum bersama kawan-kawan.

Kerjaya Reezman kini?

Saya bekerja sebagai Eksekutif Sumber Manusia di sebuah organisasi dan pemain hoki ais. Perlu disebut saya juga seorang pengacara andai produser Bang Bang Boom masih berminat untuk menyambung tawaran saya dan Azhari (tergelak).

Adakah Reezman seorang yang cerewet?

Tidak.

Seksikah Reezman?

(Ketawa) Seksi ke saya? Seksa mungkin! (tergelak)

Reezman mengenai:

Kereta Idaman.

Volkswagen! Jika tidak pun, pandu kereta Proton pun okaylah…

Wanita pilihan.

Jessica Alba dan Haifa Wahbi

Lokasi percutian pilihan.

Amsterdam.

Azam 2009.

Saya hendak jadi lebih baik dari tahun lalu selain mengharumkan nama negara, agama dan bangsa.

10 tahun akan datang.

Insya Allah saya sudah memiliki rumah sendiri daripada hasil titik peluh saya.

Profil

Nama : Reezman Isa @ Esa

Umur : 25 tahun

Tarikh lahir : 14 April 1983

Tempat lahir : Kuala Lumpur

Tinggi : 166 sentimeter

Berat : 60 kilogram

Jawatan : Eksekutif Sumber Manusia

Berita Harian

Pelakon Amerika Dinobat Sebagai Ratu Internet



FOX


KARDASHIAN

LOS ANGELES - Seorang aktres dan model, Megan Fox menduduki tempat teratas senarai wanita yang nama mereka dicari oleh pengguna-pengguna Internet, lapor sebuah akhbar semalam.

Fox yang pernah berlakon dalam filem Transformers itu menduduki senarai teratas bagi tempoh lima bulan berturut-turut sehingga bulan lalu.

Tempat kedua adalah aktres seksi yang pernah membintangi filem Into the Blue, Jessica Alba diikuti oleh model terkenal yang berbogel untuk majalah Playboy, Kim Kardashian.

Gadis kelahiran Ukraine yang pertama kali berlakon dalam filem James Bond, Quantum of Solace, Olga Kurylenko hanya menduduki tempat keempat.

Kesemua mereka disenaraikan dalam 100 nama wanita yang dicari oleh pengguna-pengguna internet hasil usaha laman web Chickipedia.com

Laman web itu menerima sejuta pelawat sebulan dan ia merupakan ensiklopedia wanita pertama untuk masyarakat maya.

Berada di tangga kelima adalah bekas pelakon Baywatch, Pamela Anderson, diikuti oleh heroin drama Heroes, Hayden Panettiere.

Penyanyi bermasalah yang mencetuskan banyak isu kontroversi, Britney Spears hanya berada di tangga ke-15 manakala selebriti Paris Hilton menduduki tempat ke-22. - Agensi

Kosmo