Archive for the ‘Justin Timberlake’ Category

10 Tahun Penuh Cemerlang


Susunan Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my


CHRISTINA Aguilera sedang bahagia melalui fasa perkahwinan dan kerjaya yang semakin stabil.

Christina Aguilera tampil dengan album kompilasi khas buat peminat

TANGGAL 18 Disember ini genaplah 28 tahun usia penyanyi dan penulis lagu kelahiran kota New York, Christina Aguilera. Pertambahan usianya seiring dengan kejayaan yang dikecapinya dari setahun ke setahun.

Sejak awal pembabitannya menyertai pertandingan dan persembahan nyanyian serta bakat, Aguilera pernah mendapat jolokan ‘gadis kecil dengan suara yang besar’. Bayangkan ketika berusia 10 tahun, vokal Aguilera seakan gadis berusia 20 tahun.

Kemuncak kehadiran dan terserlah bakatnya ketika 1993 apabila mendapat peranan besar dalam saluran Disney menerusi rancangan The New Mickey Mouse Club di sisi nama besar yang kini juga sedang meledak seperti Britney Spears, Justin Timberlake, Ryan Gosling dan ramai lagi.

Penyanyi yang turut mendedikasikan hidupnya dengan kerja amal, hak asasi manusia dan isu dunia ini mula menempa nama dengan kehadiran album sulung menggunakan namanya sendiri pada 24 Ogos 1999. Album itu memanjat carta Billboard dan terjual dengan begitu sukses di seluruh dunia.

Lagu Genie In A Bottle, What A Girl Wants dan Come On Over Baby (All I Want Is You) memperkenalkan nama Aguilera dengan pantas.

Selepas muncul dengan beberapa siri album seperti Christina Aguilera (199), Stripped (2002) dan Back To Basics (2006), kini peminat Aguilera boleh mengabadikan kompilasi bersempena dengan sedekad pembabitannya di dalam bidang seni.

Dilancarkan RCA Records dan diedarkan Sony BMG Music, album kompilasi, Keeps Gettin Better - A Decade Of Hits bakal mengubat rindunya sebelum muncul dengan album seterusnya yang ditafsirkan Aguilera sebagai ringkas, manis dan ternyata berbeza daripada album Back To Basics.

“Tak sangka sudah 10 tahun saya berada di dalam industri dan sangat teruja dengan kehadiran satu album kompilasi yang mempunyai koleksi lagu kegemaran saya sebagai hadiah buat peminat setia saya. Ia satu fasa peralihan saya daripada satu peringkat ke peringkat yang lebih baik.

“Apa yang boleh saya cakapkan rakaman album terbaru menjelang 2009 nanti sangat menyeronokkan kerana saya lebih terarah merujuk kepada seni pop, seni Andy Warhol. Album ini secara visual mempunyai pelbagai warna dan akan ada sebuah lagu yang menerapkan elemen moden simbolik terhadap cinta saya kepada Tokyo,” katanya.

Rasa indah bergelar ibu

MENGINTAI kisah peribadi, bahagia sedang erat mendakap rumah tangganya bersama eksekutif pemasaran muzik, Jordan Bratman. Mula berpacaran pada 2002, pertunangan mereka diumumkan Februari 2005 dan berkahwin pada tahun yang sama pada 19 November di estet Napa Valley.

Hakikatnya, sebelum bahagia berkunjung, Aguilera sering gagal di dalam percintaan dengan beberapa orang lelaki yang digosipkan dengannya seperti VJ MTV, Carson Daly dan penari Jorge Santos.

Awal tahun ini pada 12 Januari 2008, rona bahagia Aguilera dan suaminya bertambah seri dengan kehadiran anak sulung mereka bernama Max Liron Bratman. Anaknya dilahirkan di Pusat Perubatan Cedars-Sinai, Los Angeles, California.

Kelahiran anaknya ini juga menarik minat majalah People untuk mendapat hak eksklusif menyiarkan gambarnya di dalam majalah itu. Difahamkan juga menurut laporan Forbes, hak penyiaran gambar anak Aguilera berada di tempat kelima yang termahal diberikan kepada sesebuah penerbitan di kalangan selebriti Hollywood.

“Dalam satu temu bual yang dijalankan oleh Ellen DeGeneres, Aguilera dan suaminya sentiasa mencari sesuatu atau perkara yang boleh menghangatkan lagi rumah tangga.

“Kekalkan dan hidupkan alam perkahwinan dan rumah tangga dengan apa cara yang kita rasa mampu membuatkan suasana terus intim dan panas.

“Mengenai anak, saya bahagia melihat dia membesar setiap hari kerana ada saja perkara baru yang dipelajarinya. Saya dan suami gembira melihat dia bersungguh-sungguh memulakan langkah pertama sebelum boleh berjalan. Saya tidak mahu terlepas peluang menyaksikan semua itu. Sekarang baru saya sedar perasaan bergelar ibu sangat indah,” katanya lagi.

Profil Christina Aguilera

Nama sebenar: Christina Maria Aguilera

Tarikh lahir: 18 Disember 1980

Tempat lahir: Staten Island, New York, Amerika Syarikat

Suami: Jordan Bratman

Anak: Max Liron Bratman

Laman web: www.christinaaguilera.com.

Lagu popular: Hurt, Beautiful, Ain’t No Other Man, Candyman, Genie In A Bottle, Fighter, Can’t Hold Us Down

Info

Pernah menyanyikan lagu runut bunyi berjudul Reflection untuk filem Mula pada tahun 1998

Sebelum muncul dengan album kedua berjudul Stripped pada 2002, Christina Aguilera terlebih dulu merakamkan album Sepanyol diberi judul Mi Refleja dan dilancarkan pada 12 September 2000. Album ini melayakkan Aguilera memenangi Vokal Wanita Terbaik di Anugerah Grammy Latin pada 2001. Album yang sama juga turut menang di dalam anugerah World Music Awards.

Pada 2000 juga, Aguilera melancarkan album Christmas berjudul My Kind Of Christmas.

Penyanyi kacak, Ricky Martin pernah mengajak Aguilera berduet menerusi lagu Nobody Wants To Be Lonely yang dimuatkan di dalam album Ricky, Sound Loaded dipasarkan 2001.

Berkolaborasi dengan Lil’Kim, Mya dan Pink untuk lagu runut bunyi berjudul Lady Marmalade untuk filem Moulin Rouge pada 2001. Lagu itu diterbitkan Missy Elliot dan mencatat sejarah menjadi lagu single yang paling kerap dimainkan sepanjang tahun.

Album Back To Basics menampilkan transformasi imej Aguilera yang cukup ketara berbanding album terdahulu yang lebih bersikap provokatif dan seksi. Menggayakan potongan rambut perang dan pendek persis gaya Marilyn Monroe, Aguilera mengembalikan gaya glamor Hollywood sekitar tahun 1920 hingga 1940. Selain Aguilera, selebriti popular Hollywood seperti Dita Von Teese, Gwen Stefani dan Ashley Judd pernah melakukan perkara yang sama.

Pernah mengadakan konsert jelajah dengan Justin Timberlake dipanggil Justified & Stripped Tour.

Mei 2006, Aguilera memberanikan diri pos berbogel berinspirasikan Marilyn Monroe untuk majalah GQ.

Berita Harian

Mengelak Jumpa Jessica



CAMERON DIAZ

ENTAH mengapa, aktres Cameron Diaz cuba mengelakkan diri daripada bertemu Jessica Biel ketika kedua-dua bintang terkenal ini menghadiri majlis CNN Heroes: An All-Star Tribute baru-baru ini.

Mungkinkah kerana Jessica kini menjadi teman wanita baru kepada Justin Timberlake? Semua orang tahu sebelum ini Cameron dan Justin pernah berkasih.

Cameron dilaporkan bergegas keluar melalui pintu belakang lokasi majlis yang berlangsung di Kodak Theatre itu untuk mengelak dari bersua muka dengan Jessica.

Satu sumber memberitahu Contactmusic, Cameron mungkin mengelakkan diri untuk bertemu Jessica agar mereka tidak bercakaran. Pada majlis itu, Jessica ditemani bapanya, Jonathan untuk menjadi penyampai anugerah majlis itu.

Cameron pula telah menyampaikan anugerah kepada Marie Da Silva, yang menerima sumbangan untuk membangunkan sekolah kelolaannya di Malawi.

Antara selebriti lain yang turut menyerikan majlis tersebut termasuklah Christina Aguilera, Salma Hayek, Forrest Whitaker, Meg Ryan, Terrence Howard, Lucy Liu dan Kate Beckinsale.

Kosmo