Archive for the ‘Liza Hanim’ Category

Bual Fesyen: Khairi Sufi Mahu Kerja Keras


Oleh Hidayah Mohammad
hidayah@bharian.com.my


Khairi Sufi

Berazam dikenali peringkat antarabangsa

NAMANYA belum lagi mencapai tahap membanggakan. Namun, kebolehan dalam menghasilkan rekaan pakaian menunjukkan, Khairi Sufi, 25, mampu pergi jauh.

Sebelum ini, Khairi pernah mengimpikan untuk menjadi seorang penulis tetapi tidak lama kemudian dia mula menyedari bahawa fesyen adalah dunia sebenarnya untuk terus mara. Minat mula berkembang ketika mendapat pendidikan Diploma Seni Lukis dan Seni Reka Fesyen di Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Selari dengan pengalamannya dalam dunia fesyen, dia membuktikan kebolehan dengan menduduki tempat ketiga dalam pertandingan Piala Jarum Berlian, dua tahun lalu. Bagaimanapun bakat yang terpendam tidak menghalang anak kelahiran Ottawa, Kanada ini mengorak langkah dengan membabitkan diri dalam beberapa pertandingan fesyen tempatan.

Pertengahan tahun lalu, Khairi menyertai uji bakat rancangan Project Runway Malaysia. Walaupun tidak berjaya ke peringkat akhir, namun dia tersenarai di tempat ke-15 daripada ratusan mereka yang turut menyertainya. Kemudian, dia ditawarkan bekerja sebagai Visual Merchandiser dengan syarikat pakaian British India.

Bagi meneruskan impian menjadi seorang pereka, dia berhenti bekerja dan menghasilkan rekaan untuk selebriti terkenal seperti Fazura, Liza Hanim, Sharifah Amani dan Sazzy Falak.


SAZZY FALAK antara artis yang menggayakan koleksi tiub blaus rekaan Khairi Sufi.

Rezeki menyebelahinya apabila Khairi dipanggil untuk terbabit dalam pertunjukan fesyen terkemuka, Minggu Fesyen Antarabangsa Malaysia (MIFW) yang julung kali disertainya baru-baru ini.

Khairi berpeluang menggunakan pentas pertunjukan fesyen yang turut dipersembahkan oleh pereka fesyen dan jenama besar seperti Syaiful Baharim, Carven Ong, Farah Khan, Tom Abang Saufi, Radzuan Radziwill dan Sharifah Kirana.

“Saya tidak pernah menyangka suatu hari akan berada di tahap ini sehingga dapat terbabit dalam pertunjukan fesyen. Saya terharu dengan pihak penganjur kerana memberi peluang untuk menunjukkan koleksi dan menyedari bakat kepada semua,” katanya.

Perjalanannya sudah bermula tetapi masih mencari ruang kejayaan. Ikuti perbualan bersama Khairi Sufi sebelum acara majlis pertunjukan fesyen berkenaan.

Ratu: Anda seorang pereka fesyen muda dan masih dikategori sebagai baru malah mempunyai masa depan yang cerah. Pada pandangan anda, adakah sukar bagi seorang pereka muda yang baru menempa nama dalam industri fesyen?

Khairi: Sememangnya agak sukar bagi seseorang pereka fesyen muda menempa nama dalam industri ini. Ini kerana terlalu ramai bakat baru yang membina nama malah ramai lagi yang akan muncul.

Saya sentiasa membandingkan dengan mereka yang sudah bertahun lamanya dalam bidang ini. Tidak dinafikan ada juga yang memberi pandangan negatif serta mengkritik rekaan saya. Saya terima dan dari situ saya belajar dari kesilapan.

Tidak kurang juga yang berpandangan, orang yang ingin menjadi pereka fesyen hanya gilakan glamor!

Ratu: Bagaimana cara anda menaikkan nama Khairi Sufi sebagai satu jenama?

Khairi: Sudah tentunya dengan mempunyai identiti tersendiri. Itu yang paling penting bagi saya. Sentiasa melahirkan idea yang segar dan dapatkan orang yang ternama, tidak kira di kalangan artis mahupun sosialit untuk memakai rekaan saya. Tidak kira majlis apa sekali pun seperti permaidani merah, supaya nama Khairi Sufi itu akan terkenal dalam industri ini.

Ratu: Terlalu ramai pereka fesyen yang tumbuh bagaikan cendawan. Banyak rekaan dihasilkan tetapi ia nampaknya hampir sama kerana istilah ‘tiru’ dan ‘curi’ idea itu sentiasa berlaku dalam industri ini. Jadi, apakah identiti rekaan anda jika dikatakan berbeza dengan pereka lain?

Khairi: Saya menetapkan rekaan yang ringkas tetapi hebat. Mainan warna menarik dan potongan menawan. Pada saya, gaya ringkas adalah kunci untuk tampil lebih anggun bergaya. Saya gemar melahirkan rekaan yang praktikal dan menampakkan si pemakai anggun.

Selain itu, gaya begitu penting buat saya untuk menonjolkan sesuatu rekaan itu. Dari rambut hingga ke aksesori termasuk solekan kerana semuanya memainkan peranan.

Ratu: Apakah falsafah anda?

Khairi: Sentiasa beringat dan bekerja sama dengan semua pihak seperti media, artis atau tidak kira siapa yang memberi kita peluang, laluan untuk muncul dalam industri fesyen ini, kita tak mungkin akan berada di mana kita sekarang.

Oleh itu, kita perlu komited dengan karier. Jika selalu membuat masalah jawabnya tak lamalah! Nasihat sebagai pereka baru ialah sentiasa merendah diri dan jangan lupa dari mana datangnya kita.

Ratu: Siapa pereka fesyen idola anda dalam dan luar negara. Siapakah sumber inspirasi anda dalam bidang ini?

Khairi: Ada ramai, tapi antaranya Rizalman Ibrahim dan Versace. Saya memilih Rizalman Ibrahim kerana beliau ringkas tetapi hebat! Rekaannya tidak dapat dilupakan dan mengujakan. Sementara Versace pula kerana potongan yang sangat feminin. Mainan warna dan penggunaan fabriknya sangat menawan. Rekaan mereka sangat anggun dan glamor sambil mementingkan praktikalnya. Rekaan mereka adalah sangat diimpikan!

Antara idola fesyen, Audrey Hepburn, Rita Hayworth, Victoria Beckham dan Sarah Jessica Parker. Saya suka melihat wanita yang suka bergaya dan anggun.

Ratu: Apakah misi dan visi anda dalam industri fesyen?

Khairi: Saya ingin mendapat tempat dalam bidang fesyen dan terus melahirkan rekaan yang segar bukan saja menambat perhatian orang dalam negara tetapi juga di luar negara juga. Siapa tahu, jika dimurahkan rezeki nama Khairi Sufi itu akan ke luar negara seperti di Harrods. Kalau tidak di luar negara, di rangkaian gedung seperti Parkson ataupun Aseanna pun sudah cukup buat saya. Saya ingin melebarkan sayap dan ingin menjadikan jenama Khairi Sufi itu sebagai jenama besar dalam industri fesyen tanah air.

Berita Harian

Album Jazz Selit Lagu Melayu Klasik


Oleh Rozdan Mazalan
rozdan@bharian.com.my


ORKESTRA RTM memperkembangkan muzik jazz sejak tahun 60-an.

Diterajui sendiri Datuk Mokhzani Ismail sebagai pemain piano, pencipta dan penggubah bersama-sama dengan Jimmy Ali (bass) dan Acun (drum)

MUZIK jazz biasanya dikaitkan dengan golongan elit sebagaimana muzik klasik tetapi kini masyarakat dari semua golongan sudah mula menerimanya sebagai salah satu genre muzik yang semakin mendapat tempat di negara ini.

Ini boleh dilihat dari penganjuran pelbagai bentuk festival jazz di negara ini seperti Penang Jazz Festival, Genting Jazz dan juga Mont Kiara Jazz Festival.

Walaupun begitu, menerbitkan album instrumental berkonsepkan jazz yang menggunakan 100 peratus pemuzik tempatan menjadikan Album Mjazz Trio - The Art of Jazz antara album instrumental jazz tempatan pertama diterbitkan di negara ini.

Diterajui sendiri Datuk Mokhzani Ismail sebagai pemain piano, pencipta dan penggubah bersama-sama dengan Jimmy Ali (bass) dan Acun (drum), album yang berkonsepkan lagu standard Inggeris juga diselitkan dengan dua lagu irama klasik tempatan seperti Sungai Pahang ciptaan Jimmy Boyle dan juga ciptaan era 60-an, Dari Mana Mulanya Cinta oleh Shaharuddin Amin yang digubah dalam bentuk big band.

Malah lagu Sungai Pahang yang menggunakan elemen alatan bertali dan oboe yang memberikan satu keasyikan muzik berkonsepkan chamber.


MOKHZANI mahu masyarakat menghargai seni muzik jazz.

Mokhzani yang juga Pengarah Muzik RTM berkata, bertepatan dengan moto Orkestra RTM itu sendiri Menghibur, Mendidik, Inspirasi (Entertain, Educate, Inspire) maka album ini diterbitkan dalam mendidik masyarakat menghargai seni muzik jazz dan memberi inspirasi kepada ahli muzik baru untuk menyelami muzik yang lebih mencabar.

“Mungkin rakyat Malaysia tidak sedar bahawa pengaruh muzik jazz telahpun menular melalui RTM Orkestra itu sendiri pada awal 60-an seperti kemunculan pemain piano Alfonso dan Tony Soliano, penyanyi Julie Sudiro dan Allahyarham Zain Azman tetapi apresiasi masyarakat pada muzik sedemikian adalah amat terhad. “Tetapi kini rakyat Malaysia telahpun mula menerima muzik sedemikian melalui sambutan terhadap beberapa buah konsert jazz di Malaysia. Malah kemunculan pemuzik muda yang memainkan irama sedemikian menjadikan irama jazz semakin diterima masyarakat Malaysia dan tidak lagi terhad kepada golongan elit,” katanya.

Beliau yang mendapat pendidikan khusus dalam piano jazz dan penggubahan orkestra dari Berklee College of Music Boston Amerika juga terkenal sebagai pencipta lagu komersil untuk Adibah Noor, Saleem, Jamal Abdillah, Mawi dan Azharina serta lagu patriotik seperti Cemerlang Gemilang Terbilang, Gemilang Malaysia serta banyak lagu tema semena Hari Kebangsaan.

Selain itu, beberapa karyanya berbentuk simfonik seperti Overture Tuah dan Jebat, Di Atas Runtuhan Kota Melaka didirikan Putrajaya, Overture Makan Sirih telahpun dimainkan di konsert besar seperti Simfoni Putrajaya dan Malam Sinfoni Irama Malaysia.

Melalui sentuhan beliau di dalam pelbagai genre muzik menjadikan Mokhzani pemuzik serba boleh dalam mewarnai dan memperkayakan khazanah seni muzik di negara ini dan mampu ditonjolkan di peringkat antarabangsa.

Ditanya mengenai penonjolan kepada lagu Inggeris di dalam penerbitan albumnya ini, Mokhzani berkata, “Sebagai penerbitan pertama dan langkah awal saya perlu meletakkan muzik bercorak antarabangsa sebagai pembuka jalan dalam membolehkan dirinya diterima sehingga ke peringkat antarabangsa selain dari mencurahkan segala bakat dan ilmu yang dipelajari untuk dinikmati oleh masyarakat Malaysia.

“Malah saya sedang di dalam persiapan menyiapkan album seterusnya yang akan memaparkan lagu Melayu tradisional di dalam bentuk chamber menggunakan peralatan string dan woodwind seperti lagu Suar Suir, Lenggang Mak Limah, Ikan Kekek dan sebagainya,” katanya yang turut menyelitkan lagu ciptaan Gershwin iaitu I Can’t Get Started yang menggunakan elemen trio dan juga But Not For Me yang turut menampilkan Razak Rahman (Bekas Juara Bakat TV 1971) sebagai pemain saksofon di samping jazz orkestra.

Mokhzani juga menghasilkan dua lagu ciptaannya iaitu Here I come dan JB Blues yang diberikan pendekatan orkestra. Lagu-lagu lain seperti Witchcraft, In A Sentimental Mood dan Who Can I Turn To juga ciptaan klasik jazz yang sentiasa menjadi pilihan pendengar yang meminati irama jazz standard.

Album ini juga dimuatkan dengan koleksi istimewa DVD yang menampilkan persembahan live trio dan orkestra bersama dengan penyanyi jazz Singapura Rani Singam mengalunkan ciptaan Gershwin I Got Rhythm dan juga penyanyi Malaysia Liza Hanim dalam Fly me to The Moon.

Album yang diterbitkan komposer Johari Teh dan diedarkan oleh AKI Muzik dijual dengan harga RM29.90 dan mula disiarkan di stesen radio Inggeris seperti Trazz FM, Capital Fm dan juga Seleksi Penerbangan MAS.

Berita Harian