Archive for the ‘Marcia Cross’ Category

Selebriti Coach


Lihat cara mereka membawa diri di khalayak dengan penuh yakin.

COACH masih menjadi kegemaran ramai selebriti terutamanya dari Hollywood. Lebih mantap dan hebat, rekaan ini telah mengungguli senarai barangan aksesori yang digayakan semasa

PELAKON siri televisyen Desperate Housewife, Marcia Cross turut menggemari beg-beg Coach.

menghadiri majlis keramaian, pelancaran filem baru atau sekadar keluar membeli-belah di Beverly Hills.

Yang pastinya, perhatikan cara mereka membawa diri di khalayak ramai dengan penuh yakin.

Seperti pelakon terkenal, Eva Longoria, dia mampu membawa sebuah beg Coach ke mana jua dengan hanya menukar persalinan yang berlainan.

Kosmo

‘Isteri Terdesak’ Kembali Ke TV


Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL (shazryn.faizal@utusan.com.my)

TIADA siapa pernah menyangka ketika ditayangkan pertama kali pada 3 Oktober 2004 menerusi saluran ABC di Amerika Syarikat (AS), Desperate Housewives (DH) mencipta fenomena yang cukup luar biasa.

Hasil karya asal penerbitnya, Marc Cherry itu mendapat perhatian luas oleh pengkritik dan peminat siri televisyen dan untuk musim pertamanya sahaja, ia telah mencatatkan rating sebanyak 23.7 juta lantas menjadikan DH sebagai sebuah rancangan televisyen baru terbaik seiring dengan sebuah lagi rancangan baru ketika itu, Lost.

Malah, sewaktu episod pengenalan pada musim pertama itu, ia telah mencatatkan rating sebanyak 21.3 juta. Kejayaan itu merupakan antara yang terbaik dikecapi oleh saluran ABC selepas sitkom popular, Spin City yang menemui penonton pada tahun 1996.

DH terus mengumpulkan peminatnya dan apa yang menjadikan ia sebuah rancangan yang menarik untuk ditonton adalah barisan pelakonnya yang telah berjaya menarik perhatian penonton untuk terus melekat di kaca televisyen setiap minggu.

Lima wanita yang telah menjadi kegilaan di seluruh dunia terdiri daripada Teri Hatcher yang memegang watak sebagai Susan Mayer, Felicity Huffman (Lynette Scavo), Marcia Cross (Bree Van De Kamp dan kemudiannya di tukar kepada Bree Hodge selepas berkahwin semula), Eva Longoria (Gabrielle Solis) dan Nicollette Sheridan (Edie Britt)

Ditambah pula dengan jalan cerita yang sememangnya begitu dekat dengan rakyat Amerika kerana dikatakan berlaku dalam institusi kekeluargaan di sana, DH sebenarnya bukanlah sebuah rancangan santai yang hanya sekadar memberikan keseronokan.

Hakikatnya, banyak mesej yang cukup berguna yang mampu diperolehi seandainya DH ditonton dengan fikiran dan minda yang terbuka.

DH diinspirasikan daripada kisah benar Marc Cherry yang banyak melalui suka duka sepanjang hidupnya sebelum dia mengambil keputusan untuk menzahirkan kisahnya itu menerusi DH.

Seperti kata Cherry dalam satu temu bual tidak lama selepas DH mendapat sambutan hangat di seluruh dunia: “Saya tidak pernah menyangka DH akan mendapat respons yang begitu meluas dan diterima ramai.

Inspirasi

“Saya secara peribadi terkejut dengan sambutan penonton DH dan apa yang boleh saya katakan, ia akan terus memberikan inspirasi buat saya untuk terus menghasilkan yang terbaik selagi DH akan diterima,” katanya.

Untuk musim pertama sahaja, DH berjaya mengumpul sebilangan anugerah berprestij di AS antaranya dua anugerah Golden Globe untuk Siri Televisyen (Komedi atau Muzikal) Terbaik dan Aktres Televisyen (Komedi atau Muzikal) Terbaik bagi Teri Hatcher pada tahun 2005. Malah, kejayaan itu juga turut diulangi dalam anugerah Screen Actors Guild.

Bukan itu sahaja, lebih manis juga, DH juga berjaya dicalonkan dalam 15 kategori sewaktu anugerah Emmy pada tahun 2005 dan berjaya membawa pulang enam anugerah termasuk Aktres Komedi Terbaik bagi Felicity Huffman sekali gus menjadikan Huffman sebagai pelakon wanita utama DH pertama yang membawa pulang gelaran itu.

DH terus berkembang dan pelbagai konflik yang timbul dalam musim keduanya. Watak-watak baru mula diperkenalkan bagi memantapkan lagi jalan cerita DH serta mampu membangkitkan rasa teruja kepada penonton untuk terus menonton setiap minggu.

Meskipun, rating untuk musim kedua masih utuh namun, pengkritik dan peminat siri itu mula menyedari terdapat kualiti skripnya tidak sehebat musim pertama.

Lebih mengejutkan apabila penerbit eksekutifnya, Michael Edenstein meninggalkan DH atas alasan tidak sefahaman dengan Cherry yang kononnya sudah seperti kaduk naik junjung.

Sebaik tamat musim kedua, Marc Cherry mengakui, kesilapannya dalam skrip untuk musim tersebut dan berikrar akan memperbaiki segala kelemahan yang ada dalam musim kedua untuk dibawa ke musim ketiga.

Ternyata, Cherry menunaikan janjinya apabila musim ketiga yang mula bersiaran pada 24 September 2006 mendapat pujian melambung daripada pelbagai pihak yang berpendapat, Cherry berjaya mengembalikan sentuhan magis terhadap DH.

Di sebalik berita gembira buat Cherry dan seluruh krew DH itu, entah di mana silapnya, rating DH yang sebelum ini berada di dalam Top 5 selama dua tahun berturut-turut jatuh merudum sebanyak 25 peratus berbanding rating untuk musim pertama dahulu.

Ramai yang mendakwa ia disebabkan ketiadaan salah seorang pelakonnya, Marcia Cross yang bercuti bersalin dan dia ‘hilang’ dari DH untuk enam episod dalam musim ketiga lalu.

Lebih malang lagi, sewaktu musim ketiga tamat, DH mencatatkan rating sebanyak 17.5 juta dan tidak lagi tersenarai sebagai antara lima rancangan terbaik yang ditonton di AS.

Malah, sebelum ini DH yang tersenarai dalam Top 5 lima rancangan yang paling ditonton di AS jatuh ke tangga 10 tetapi pola penonton yang menonton DH dalam lingkungan umur 18 hingga 24 tahun meningkat berbanding musim sebelumnya.

Kebanyakan rancangan sudah menampakkan kepudaran kemilauannya dari aspek kualiti dan populariti sebaik sahaja memasuki musim keempat, namun, tidak bagi DH.

Musim keempat DH yang ditayangkan pada September tahun lalu terus utuh dan DH berjaya membuktikan kualiti dan popularitinya seiring untuk terus mengecapi kegemilangannya.

Untuk 10 episod pertama musim keempat ditayangkan, ia telah mencatatkan kejayaan sebanyak 18.9 juta sebelum mogok oleh Persatuan Penulis Amerika atau Writer’s Guild of America (WGA) melanda industri hiburan Hollywood pada Oktober tahun lalu.

Episod sembilan yang menyaksikan pertama kali ribut taufan melanda Wisteria Lane telah mencatatkan rating sebanyak 20.6 juta dan terus melonjakkan kembali populariti DH untuk terus berada di puncak sebagai siri televisyen yang paling ramai ditonton untuk tahun 2007/2008 dan menewaskan saingannya, Grey’s Anatomy dalam tempoh dua tahun buat pertama kalinya.

Menerusi musim keempat ini, sudah pasti ramai yang ingin mengetahui bagaimanakah dengan nasib Edie Britt yang begitu kecewa setelah ditinggalkan Carlos Solis (Ricardo Chavira) dengan cubaan membunuh diri. Adakah benar dia membunuh diri atau sebaliknya?

Dalam pada itu, Gabrielle yang baru sahaja berkahwin dengan senator Victor Lang (John Slattery) menyedari bahawa dia tidak gembira dengan perkahwinannya dan apa yang mengejutkan, dia telah menjalin hubungan sulit dengan bekas suaminya, Carlos.

Susan pula yang sudah menjadi isteri kepada Mike Delfino (James Denton) merasakan Mike tidak begitu gembira sebagaimana dirinya. Apatah lagi, setelah mendapati dirinya mengalami fasa putus haid, ia menyebabkan hubungannya dengan Mike menjadi tegang dan beremosi.

Lynette pula akhirnya mendedahkan rahsia penyakit kansernya kepada kawan-kawannya setelah mendapati dia tidak mampu untuk menanggung bebannya itu.

Sementara itu, Bree pula berdepan dengan cabaran dan masalah besar dengan memalsukan kandungannya semata-mata mahu menjaga anak yang dikandung oleh anak perempuannya, Danielle.

Apa yang menariknya musim keempat ini ialah kemunculan watak baru, Katherine Mayfair (Dana Delaney) yang juga sahabat lama Susan kembali ke Wisteria Lane bersama suaminya, Adam (Nathan Fillion) dan anak perempuannya, Dylan (Lyndsy Fonseca).

Namun begitu, kehadiran mereka sebenarnya mengundang banyak misteri dan kejutan.

Bagaimanakah kesudahannya? Oleh itu, jangan lupa untuk menyaksikan DH musim keempat yang akan disiarkan setiap hari Selasa bermula hari ini (25 Mac), secara eksklusif di 8TV bermula pukul 10.30 malam.

Utusan Malaysia