Archive for the ‘Nur Fazura’ Category
Adegan Ranjang Lana
Oleh Elrafaei Sapi
ahmadelrafaei@hmetro.com.my
Rap
LAKONAN menerusi drama bersiri popular Gol & Gincu sebagai gadis kampung bernama Ayu yang bermain karakter jahat meninggal kesan mendalam pada penonton. Akui pelakon baru, Lana Nordin, penonton lebih mengenali dirinya dengan watak itu berbanding lakonan dalam drama lain.
Menariknya, dalam watak itu, karakter jahat yang ditunjukkan bukan pada perbuatan, tetapi ekspresi muka dan bahasa tubuh.
Walaupun melakonkan watak sampingan, Lana menggalas tanggungjawab dengan sebaik mungkin dan gembira dengan hasil yang membuatkan penonton ingat pada lakonannya itu.
“Memang antara drama yang pernah saya lakonkan, saya paling suka dengan watak Ayu kerana ia banyak bermain dengan perasaan. Hanya penonton yang tahu dia jahat sebaliknya watak sekeliling tidak tahu perasaan sebenar yang ada dalam dirinya.
“Walaupun tidak banyak dialog, Ayu sebenarnya banyak berinteraksi dengan penonton. Dari situ, penonton dapat menyelami perasaan sebenar Ayu yang mempunyai niat menyakiti hati Putri (lakonan Nur Fazura). Dalam menghayati watak dengan berkesan, saya perlu cakap dalam hati.
“Apabila saya berasa geram dalam diri, ia secara tidak langsung terpancar pada wajah. Hingga kini dalam kebanyakan drama, saya sering diberi tawaran watak jahat. Saya tidak kisah dengan watak jahat atau baik kerana setiap tawaran yang diterima adalah rezeki.
“Bagaimanapun, apabila saya dicop watak jahat, ia menunjukkan lakonan saya berjaya dan produser berani menawarkan watak yang sama pada saya lagi. Drama lain seperti Sadiq & Co pula, saya tampil sebagai pelakon undangan yang menyaksikan saya berlakon sebagai artis yang pukul wanita dengan kasut tumit tinggi dalam sebuah kelab malam.
“Perkembangan terbaru, saya selesai menjalani penggambaran drama Kopitiam yang menampilkan pelakon Aida Radzwill, Rusdi Ramli dan Raja Farah.
“Dalam drama ini, watak saya hanya pelakon pembantu iaitu rakan baik yang banyak beri pendapat. Selain itu, saya terbabit dengan program terbaru, Anak Gemilang untuk tayangan RTM,” katanya.
Menerusi Anak Gemilang, Lana mengasah bakat sebagai pengacara. Pernah menimba pengalaman mengacara program Jejak Pulau dan X-Tune, kali ini Lana perlu melakukan tugas menemubual tokoh akademik dan pelajar dari peringkat tadika hingga universiti.
“Program sebelum ini tertumpu pada hiburan tetapi dalam program baru ini, ia menekankan aspek pendidikan. Untuk persediaan saya perlu melakukan kajian di Internet dalam merangka soalan yang perlu ditanya. Boleh dikatakan saya banyak belajar tugas wartawan dan pengalaman ini memang menyeronokkan.
“Berbeza dengan lakonan, tugas mengacara tidak memeningkan kepala hingga perlu tunggu lama di set penggambaran. Sebelum ini, kami sudah selesai empat episod dan tinggal baki sembilan episod untuk dirakam,” katanya.
Mengenai projek filem, Lana menantikan filem ketiganya, Gentayangan menemui penonton pada tahun depan. Berkongsi cerita menarik, Lana memberanikan diri melakonkan adegan ranjang bersama Hasnol Rahmat. Katanya, watak Sabrina yang dipegang, pada mula menggoda Hasnol sebagai kekasihnya hingga mereka terlanjur.
Namun, dalam cerita, Sabrina sebenarnya bermesra dengan jelmaan hantu yang menyerupai kekasihnya. Filem arahan Zukiflie M Osman ini turut dibintangi Rusdi Ramli, Nasir Bilal Khan, Abu Bakar Omar, Yasmin Hani dan Afida Es. Dalam menantikan respons penonton terhadap filem ini, adegan ranjang Lana bersama Hasnol dijangka mencetus kontroversi.
Bagaimanapun, Lana berkata dia bersikap terbuka dalam menerima sebarang pandangan yang dilontarkan. Baginya, dia harus positif terhadap komen penonton dan menganggap adegan itu adalah satu amanah kerja yang perlu dilaksanakan dengan baik.
“Saya juga takut dengan respons penonton terhadap lakonan saya itu. Dalam adegan itu yang berlaku di stor, kami ada bertindih badan tetapi saya ada minta bantuan adik saya untuk merakam adegan itu menerusi kamera video sendiri.
“Rakaman itu penting sebagai bukti untuk saya tunjuk pada ibu bapa saya bagaimana adegan sebenar berlaku antara kami berdua. Saya takut mereka salah faham jika tidak lihat sendiri rakaman itu. Saya syukur mereka faham dengan adegan itu. Namun, saya tetap gementar apabila filem itu ditayangkan kelak kerana ramai akan menontonnya,’ katanya.
Harian Metro
Cerita Laut Dibikin Di Darat
Oleh Mohd Nasif Badruddin
mnasif@hmetro.com.my
Rap
HAMPIR 90 peratus cerita dalam filem Pisau Cukur berlaku di atas kapal, tetapi penggambarannya dilakukan hampir sepenuhnya di darat.
Mungkin ada yang tertanya-tanya bagaimana proses ini berlaku.
Namun dengan menggunakan teknik imej janaan komputer (CGI), apa saja gambaran yang terlintas di fikiran boleh dibuat dengan mudah.
Filem Pisau Cukur terbitan RedFilms Sdn Bhd dan Grand Brilliance Sdn Bhd ini menggunakan teknik CGI untuk beberapa babak terutama pelayaran bagi menggambarkan awan, lautan dan juga pemandangan.
Malah, replika kapal dibuat dan diletakkan di lokasi di Ampang bagi menggambarkan suasana atas kapal.
Untuk menghidupkan suasana sebenar, pihak produksi menggunakan skrin hijau untuk babak atas dek kapal, kemudian barulah dimasukkan teknik CGI.
Wartawan dan jurugambar Harian Metro berkesempatan meninjau babak terakhir filem arahan Bernard Chauly ini membabitkan adegan Nur Fazura dan Aaron Aziz dalam bilik di atas kapal yang dilakukan di Red Comm Studio, Petaling Jaya, baru-baru ini.
Dengan hiasan ringkas sebuah bilik dalam kapal yang dilengkapi tilam dan laci, suasana yang digambarkan persis bilik sebenar dalam kapal.
Pada satu tingkap kapal, sengaja diletakkan latar hijau untuk diubah suai menggunakan CGI bagi memasukkan visual laut dan awan.
Filem yang memakan masa 25 hari penggambaran di sekitar Kuala Lumpur dan Ampang serta Port Dickson, Negeri Sembilan ini menelan belanja RM1.3 juta kos produksi tidak termasuk kos promosi.
Ia mengisahkan dua sahabat baik, Bella (Maya) dan Intan (Fazura) bercuti di atas kapal peranginan diberi nama Puteri Duyung.
Seorang daripada mereka sebenarnya mencari cinta, manakala seorang lagi melakukan penyiasatan.
Apa yang akan terjadi apabila mangsa dan pemburu sama-sama terperangkap di atas kapal percutian mewah? Dua orang gadis pisau cukur, Bella dan Intan, bertembung dengan tiga orang Datuk, tiga orang isteri Datuk, dua orang anak Datuk, seorang detektif dan seorang peminat setia Bella.
Siapakah yang memburu dan siapa pula diburu? Dalam pelayaran yang penuh kejutan dan kelucuan, apa pun boleh terjadi.
Pisau Cukur yang bakal menjengah pawagam tahun depan, menarik kerana menggandingkan nama besar. Ia bukanlah perkara baru dalam industri seni tanah air, tetapi sejauh mana ia berjaya menarik perhatian penonton menyaksikannya di pawagam, tiada siapa yang berani memberikan jawapan.
Namun bagi pengarah kreatif, Bernard Chauly sejak awal pembikinan skrip lagi, dia sudah membayangkan untuk menggandingkan Maya Karin dan Nur Fazura sebagai pelakon utama berdasarkan rupa paras jelita dan bakat besar mereka.
Kata Bernard, idea asal pemilihan pelakon dicetuskan penulis skrip filem ini, Rafidah Abdullah dan dirinya sendiri. Apa yang menggembirakan, cadangan nama yang diberikan kepada penerbit akhirnya dipersetujui dan membolehkan Bernard menumpukan kepada aspek pengarahan dengan penuh perhatian.
“Gandingan Maya dan Fazura belum pernah dilakukan orang sebelum ini dan ia sesuatu yang segar dan menarik perhatian ramai. Malah, skrip yang dihasilkan ini memang dicipta untuk mereka.
“Walaupun saya pernah berkerja dengan Fazura dalam Gol & Gincu, saya mahukan dia mengukir watak baru yang berbeza dalam filem ini. Begitu juga dengan Maya, wataknya tidak sama dengan filemnya sebelum ini,” katanya.
Tambahnya lagi, walaupun filem ini bercorak komedi romantik, ia juga menyelitkan beberapa adegan luar membabitkan penyiasatan dan sebagainya. Namun, tegas Bernard, gaya komedi yang dipersembahkan dikawal rapi supaya tidak slapstik. Apa yang dipentingkan ialah kelucuan perwatakan dan jalan cerita.
“Dalam pembikinan filem ini, tidak banyak perubahan skrip dilakukan kerana skrip dan struktur yang ada memang ketat. Malah, elemen komedi dan kelucuan itu sudah terkandung dalam skrip.
“Cuma cabarannya, pelakon perlu mencari idea kreatif bagaimana mahu menyampaikan dialog dengan cara berbeza dan filem ini lebih dekat dengan realiti,” katanya.
Menurut Bernard, walaupun namanya sinonim dengan Red Comm, dia tidak terikat dengan bentuk cerita sama, sebaliknya diberi kebebasan untuk berkarya. Walaupun formulanya nampak sama, ia mempunyai strategi berbeza.
Borak Lokasi
JUDUL: Pisau Cukur
TERBITAN: RedFilms Sdn Bhd dan Grand Brilliance Sdn Bhd
PENERBIT EKSEKUTIF: Lina Tan, Ahmad Puad Onah, Lee Mee Fung, Alan Tan
PENERBIT: Lina Tan
PENERBIT PENYELARAS: Oh Sok Peng
PENGARAH: Bernard Chauly
PENOLONG PENGARAH: Fabian Wilfred Joseph
PENULIS SKRIP: Rafidah Abdullah
PENGURUS PRODUKSI: Goh Soo Chen
PENYELARAS PRODUKSI: Farid Ramlee
KONTI: Lim Pik Lan
PENGARAH FOTOGRAFI: Haris Hue Abdullah
PENOLONG JURUKAMERA: Mohd Razali Ismail
PENATA BUNYI: Fauzan Aziman Lukman, Mohd Haniff Hashim, Yusof Han Mohd Hanafi Anam
PENATA GAYA: Daniel Henry Chin, Mohd Firdaus Mohd Anuar
PEREKA PRODUKSI: Kek Ting Lam
PENGARAH SENI: Law Gwo Yunn
KRU JABATAN SENI: Lim Keng Boon, Tee Yi Sin, James Shanmugam
SOLEKAN & DANDANAN: Pakanant Chaopradith, Kon Chee May, Jong Kim Hiang
PENYUNTING: Nur Ain Farah Aizurinda
PENOLONG PENYUNTING/DATA: Wranggler Wong Hui Lynn
PERUNDING TEKNIKAL: Toby Risk
PELAKON: Maya Karin (Bella), Nur Fazura (Intan), Aaron Aziz (Ari), Eizlan Yusof (Datuk Hisham), Datuk Rahim Razali (Datuk Zakaria), Khatijah Tan (Datin Wahidah), Umie Aida (Naini), Sharifah Sofia (Sal), Liyana Jasmay (Suri)
PENAMPILAN KHAS: Afdlin Shauki, Norman KRU, Nabil Raja Lawak, Radhi Khalid, Rafidah Abdullah, Nabila Huda, Yasmin Yusuff, Othman Hafsham, Bernice Chauly, Low Ngai Yuen, Elaine Pedley, Henry Golding
Harian Metro