Archive for the ‘Zed Zaidi’ Category

Karnival Jomheboh Menutup Tirai


Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
nurul@bharian.com.my


ACARA sambutan hari jadi membabitkan kanak-kanak dari Pusat Penjagaan Lambaian Kasih Sungai
Penchala diadakan di gerai Kids & Teen.

KARNIVAL Jomheboh anjuran TV3 menutup tirai penganjurannya pada 2008 dengan berlangsungnya karnival terakhir di Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 20 dan 21 Disember lalu.

Sebelum ini, karnival itu ke Melaka pada 5 dan 6 April, Perlis (3 dan 4 Mei), Bukit Jalil (31 Mei dan 1 Jun), Johor (5 dan 6 Julai), Pahang (2 dan 3 Ogos), Sarawak (25 dan 26 Oktober) dan Pulau Pinang (22 dan 23 November).

Karnival yang memasuki tahun keenam tetap mendapat sambutan hangat orang ramai dan sebagai penutup tirai, Bukit Jalil sekali lagi dipilih sebagai lokasi terakhir.

Berkonsepkan rekreasi dan riadah, karnival berkenaan mendapat perhatian semua lapisan masyarakat, daripada kanak-kanak sehinggalah golongan warga emas. Selain menyertai aktiviti yang dijalankan di karnival, pengunjung turut berpeluang mengenali stesen TV3 dan stesen lain di bawah Media Prima dengan lebih dekat.

Antara aktiviti yang diadakan sepanjang karnival di Bukit Jalil ialah peraduan mewarna dan sambutan hari jadi di gerai Kids & Teen, sesi ramah-mesra bersama pelakon Akasia & Lagenda, sesi ramah-mesra bersama pengacara Wanita Hari Ini dan Nona di gerai Women@TV3 serta sesi ramah-mesra bersama pelakon slot Aksi, Seram dan Lestary.

Antara artis yang terbabit ialah Danny X-Factor, Fizow Omar, Fezrul Khan, Zed Zaidi, Faizal Yusop, Ifa Raziah, Norish Karman, Anita Baharom, Zul Yahya, Eira Syazira, Noorkhiriah, Zarina, Wahid dan ramai lagi. Grand Brilliance Sdn Bhd pula tidak ketinggalan mempromosikan filem terbaru mereka, Sifu dan Tongga, yang dibintangi Nabil, Saiful Apek, Erra Fazira, Pie dan Rozita Che Wan.


KETUA Pegawai Eksekutif NSTP, Datuk Anthony Firdaus Bujang
beramah mesra bersama peserta Metro Idol.

Selain itu, mereka turut berpeluang mendekati personaliti TV3 seperti Zakiah Anas, Azizah Ariffin, Ally Iskandar, Nurul Syuhada Nurul Ain, Siti Hasfizza Aswaty, Tanah Syazwan, Hairuddin Mohd Noh, Sasha Bashir, Fara Fauzana, Fedtri Yahya dan lain-lain.

Di samping kemeriahan yang boleh dirasai sepanjang karnival berlangsung, TV3 tidak pernah melupakan golongan kurang bernasib baik. Justeru, majlis penyerahan sumbangan daripada Tabung TV3 Bersamamu berjumlah RM10,000 hasil sumbangan orang ramai diadakan.

Sumbangan kali ini diberikan kepada Pusat Penjagaan Lambaian Kasih, Sungai Penchala. Pusat penjagaan anak yatim berkenaan terbabit dalam insiden kebakaran yang mengorbankan dua penghuninya, baru-baru ini. Sumbangan disampaikan pihak pengurusan TV3 kepada pengurus pusat terbabit, Ridwan Abu Bakar.

Kumpulan New Straits Times Press (NSTP) turut mempunyai gerai sendiri pada karnival kali ini. Gerai akhbar berbahasa Melayu nombor satu, Harian Metro, umpamanya menjadi perhatian ramai berikutan beberapa aktiviti mereka jalankan, termasuk penganjuran Metro Idol.


PENGURUS Besar Kumpulan Pengurusan Jenama TV3, Nurul Aini Abu Bakar (kiri) dan Pengurus Besar
Pemasaran Segmentasi Maxis Communications Berhad, Rozalila Abdul Rahman, menyampaikan
replika cek kepada Ridwan (tengah).

Acara kemuncak penutup karnival kali ialah Konsert Jomheboh yang menampilkan ramai artis terkenal tanah air termasuk Elyana, Ziana Zain, Farah Asyikin, Nikki, Rahim Maarof, Nabil, Saiful Apek, Estranged, Bunkface, Nitrus dan Colabr8.

Berita Harian

Transformasi Syed Ali


Oleh SHAKILAWATI ABD RAHMAN
shakilawati@hmetro.com.my

Rap

BERBEKALKAN minat dan niat membela nasib keluarga, dia nekad berhijrah ke Kuala Lumpur (KL) bagi mencari ruang mencipta nama sebagai pelakon. Ternyata percubaan anak muda ini tidak sia-sia apabila diberi peluang melakonkan watak kecil menerusi drama bersiri Bella.

Siapa sangka, persembahan jejaka bernama Syed Ali Syed Mokhtar ini berjaya menarik perhatian pengarah dan kru produksi itu. Keberkesanan lakonannya membuatkan dia lebih menyerlah berbanding beberapa watak lebih besar.

Tidak lama kemudian nama Syed Ali mula melonjak melalui siri Renjis dan Bonda. Sejak itu nasibnya mula berubah. Saban hari ada saja tawaran bertandang sehingga dia tidak menang tangan.

Begitulah transformasi drastik anak jati Kuala Kangsar, Perak, ini. Pun begitu dia tidak alpa, sebaliknya mengingatkan diri supaya sentiasa bersyukur dengan apa yang ada dan sedar akar umbinya.

“Saya berhijrah ke KL bukan untuk suka-suka, tetapi mahu melakukan sesuatu yang boleh buat arwah ibu, abah dan orang kampung bangga dengan pencapaian saya.

“Walaupun kehadiran saya mula diterima dalam industri, ia tidak melalaikan saya. Pesanan orang tua supaya ingat asal-usul dan jaga tingkah laku sentiasa dijunjung. Saya percaya restu ibu bapa penting, justeru tidak akan sia-siakan kepercayaan diberi.

“Saya sedar sebagai pelakon baru, laluan yang bakal ditempuh tidak semudah disangka. Persaingan cukup sengit dan kerana itu saya perlu bekerja keras.

“Memandangkan tiada asas lakonan, lakasi penggambaran adalah sekolah saya, malah pelakon senior dianggap sebagai guru. Ilmu dan tips yang diperturunkan saya praktikkan sebaik mungkin. Alhamdulillah, berkat bimbingan mereka, lakonan saya mula meningkat,” katanya merendah diri.

Berkongsi perkembangan terkini, pelakon berusia 23 tahun ini rancak menjayakan penggambaran drama berjudul Kisah Yusof yang bakal menghiasi slot Samarinda, TV3.

Menerusi siri 25 episod ini, dia digandingkan dengan Ashraf Muslim, Zed Zaidi, Feroz Khan, Rizman Khuzaimi dan Datuk Jalaludin Hassan.

Drama berat yang diinspirasikan daripada kisah junjungan Nabi Yusuf AS turut menyaksikan Syed Ali buat kali pertamanya melakonkan watak antagonis.

“Jika dalam Renjis saya menjadi majikan dan kawan Ashraf, kali ini saya memegang watak sebagai adiknya bernama Bustaman. Saya anak bongsu daripada lima beradik yang sangat membenci Yusuf (lakonan Ashraf) dan berniat membunuhnya.

“Sebagai adik bongsu, saya selalu dibuli dan terpaksa mengikut perintah abang. Kami mencampakkan Yusuf ke dalam lubang, tetapi dia tidak mati.

“Julung kali melakonkan watak jahat memberi pengalaman berbeza kepada saya. Ternyata watak ini sangat mencabar kerana menuntut saya banyak bermain dengan emosi. Paling menarik, saya berpeluang beraksi di samping pelakon idola saya, Datuk Jalaluddin.

“Walaupun namanya sudah besar, Datuk Jalaluddin tidak lokek berkongsi ilmu. Dia melayan saya dengan baik dan keikhlasannya membuatkan saya semakin menghormatinya,” katanya.

Pada masa sama, pelakon muda ini terbabit dengan dua lagi produksi, Spa Q 2 dan Noktah Pilu. Meskipun terpaksa berkejar ke tiga lokasi, Syed tidak berdepan masalah, malah istilah penat tidak pernah wujud dalam dirinya.

Ini kerana dia percaya jika bijak menguruskan masa dan memastikan jadual tidak bertindih sebelum penggambaran berlangsung, semuanya pasti berjalan lancar.

“Sebelum menerima tawaran, saya akan mengkaji skrip dulu, watak dan jangka masa penggambaran. Jika tiada pertindihan jadual dan wataknya sesuai dengan kemampuan diri, baru saya pertimbangkan.

“Ini penting bagi mengelak masalah pada kemudian hari. Sebagai pelakon baru, saya perlu berhati-hati dan memberi persembahan terbaik supaya semua pihak yang bekerja dengan saya berpuas hati. Saya tidak mahu menyusahkan orang lain kerana secara tidak langsung mencacatkan perjalanan karier saya.

“Setakat ini saya banyak ditawarkan watak remaja dan pelajar kolej. Paling berat rasanya watak Bustaman dalam Kisah Yusuf, di mana saya perlu menonjolkan pergolakan emosi adik bongsu yang terpaksa akur dengan kata-kata abang. Waktu sama terselit rasa bersalah apabila turut bersubahat dalam pembunuhan abang yang berhati mulia,” katanya ingin mencipta nama di layar perak.

Harian Metro